Jumat, 17 April 2020

Cerita Hantu - Apabila roh tidak tenteram


  - Ibuku hanya terpaku apabila mendengarkan berita sedih itu. "Kami harap Cik Rahmah banyakkan bersabar," nasihat anggota polis yang membawa berita berita sedih kepada keluarga kami pada petang itu, berita kematian bapa saudaraku iaitu adik ibuku. Walaupun umurku baru 12 tahun, namun aku masih ingat segalanya. Ia berlaku dalam tahun 1972. Pakcikku menemui maut dalam satu kecelakaan jalan raya di Jalan Bahar. BEliau menunggang skuter bersama isterinya yang sedang sarat mengandung enam bulan, anak sulung mereka. Pakcik ku yang kami panggil "Pak Su" baru berusia 33 tahun ketika beliau pergi meninggalkan kami. Masa itu keluarga kami tinggal di Pepsy Road di Pasir Panjang, berdepan dengan Masjid Islah. Apabila malam tiba, keadaan begitu gelap dan sunyi. Yang kedengaran hanyalah bunyi cengkerek dan unggas malam. Hanya sesekali terdengar bunyi kenderaan berlalu - kenderaan yang dimiliki oleh orang kampung tengah yang terletak tidak jauh dari rumahku. Sesekali terdengar bunyi salakan anjing. Semasa hidupnya, pakcikku adalah seorang yang peramah, mesra dan periang. Bergurau dan bersakat dengan kami adik beradik adalah antara kegemaraannya. Beliau juga suka menunggang skuter dengan laju. Sering ibu dan ayahku menegur cara beliau menunggang skuter. Namun pakcikku tidak menghiraukannya. Pada suatu hari aku terdengar ibuku memarahi pakcikku,"Kau jangan degil, nanti kau mati pun dengan skuter ni!" Mungkin benar kata orang, seseorang yang mati secara mendadak seolah olah terasan kerana tidak dapat berpesan atau meninggalkan wasiat. Mayat dan roh mereka dikatakan seolah olah tidak tenteram. Setelah tiga hari dikebumikan, kami sekeluarga sering didatangi roh arwah pak su. apabila masuk waktu maghrib, kami selalu ternampak semacam imbasan beliau dibilik belakang tempat beliau dimandi dan dikapankan. Adakalanya kami terdengar seperti suara beliau berbual bual, bunyi skuter beliau dan jugak bunyi siulannya. Yang paling menghairankan kami, walaupun sudah hampir dua minggu berlalu, namun bau pacai dan setangi yang kami gunakan untuk menguruskan mayat beliau masih kuat baunya. Yang masih kuingat, kakak dan kedua dua abangku sering diganggu pak su, kerana semasa hayatnya pak su begitu mesra dengan mereka. Kakaklah yang sering melihat bayangan pak su. Abang abangku pula sering diganggu semasa tidur, dicuit cuit dihidungnya - kebiasaan pak su semamsa hidupnya. Ibuku pulak sering terdengar bualan dan siulan adiknya itu. Isteri almarhum pula sering terngigau-ngigaukan beliau. Beliau sering bermimpikan arwah pak su memesan agar beliau menjaga anak yang bakal dilahirkan itu dengan sempurna. Pernah juga isteri beliau terjaga kerana bermimpikan arwah pak su datang berjumpa dengannya lalu menunjukkan bekas jahitan post mortem pada tubuhnya. Masih ku ingat ketika itu isteri pak su terjaga pada tengah malam sambil memekik nama pak su dan di ikuti dengan salakan anjing yang mendayu dayu. Sungguh menyeramkan ketika itu. Mungkin benar kata orang, roh orang yang baru mati akan berada didalam rumah selama 40 hari. Kami sering mengaji dan membaca yasin serta berfatihah untuk disedekahkan kepada almarhum. tetapi kami hairan mengapa rohnya seolah olah tidak tenteram. Apa yang menghairankan kami lagi ialah pada setiap hujung minggu ketika abang dan seorang lagi pakcikku menziarahi kubur allahyarham, terdapat lubang dihujung kaki atau dibahagian kepala kubur beliau. Menurut pakcikku yang sorang lagi, lubang tersebut begitu dalam. Beliau cuba menyucuk lubang itu dengan kayu sepanjang 4 kaki dan dilepaskan, batang kayu itu terus jatuh kebawah. Yang lebih menghairankan, apabila lubang dibahagian kakinya ditutup minggu ini, akan muncul pula lubang dibahagian kepalanya pada minggu depan. Begitulah keadaannya berterusan. Kami pula sering berasa ketakutan - terutama sekali aku dan kakakku. Mentelah lagi salah sorang sahabat karib pak su pula dikatakan terkena "badi" beliau. Entah macam mana, dengan izin Allah swt. masuk minggu ketiga, nenekku (kini sudah arwah) bermimpikan pak su memberitahunya supaya membersihkan bilik bekas beliau dimandi dan dikapankan. Menurut arwah nenekku, pak su memeberitahunya bahawa bilik itu tidak dibersihkan dengan betul. Masih terdapat bekas bekas darah dan air mandi beliau yang bertakung dibawah tikar getah dalam bilik itu. Memang benar seperti kata Allahyarham didalam mimpi arwah nenekku. Keesokkan harinya , kami sekeluarga membersihkan bilik tempat Allahyarham dimandikan dan dikapankan - ternyata masih terdapat bekas bekas darah dan air mandi beliau yang masih lembap dibawah tikar getah itu. Ayahlu terus membakar tikar getah itu dan abunya ditanam. Kami sekeluarga lantas membersihkan bilik itu dengan lebih sempurna lagi. Hairannya, setelah itu kami sekeluarga tidak lagi diganggu. Kini sudah tahun berlalu, anak didalam kandungan makcikku dulu sudah pun dewasa menjadi seorang anak gadis yang cantik dan manis. Aku juga tidak pernah lupa mendoakan al fatihah untuk allahyarham pak su setipa selepas solat.